Buku Melayu Singapura: Menyambung Tradisi dalam Era Digitalisasi

Buku Melayu Singapura: Menyambung Tradisi dalam Era Digitalisasi

Unggun Creative

Baru-baru ini, kami terbaca keluh-kesah yang diluahkan dalam ruang Threads di Instagram yang menggeletek jari-jemari kami untuk menawarkan sedikit respons. Penulis hantaran asal (OP) menyatakan bahawa agak sukar sekarang untuk mencari kedai buku Melayu di Singapura, malah seakan-akan tidak wujud dan ghaib daripada pandangan mata kasar. Beberapa komen lain turut akur dan mengatakan bahawa sekarang hanya tinggal kedai buku agama sahaja.

Pernyataan ini mengundang perbincangan; ia mengandungi unsur kebenaran tetapi juga tanggapan yang kurang tepat. Memang benar, kedai buku Melayu yang beroperasi secara fizikal semakin pupus, namun penjualan dan penerbitan buku-buku Melayu Singapura tidak terbengkalai begitu sahaja. Malah, usaha ini telah menemui nafas baharu melalui gerai-gerai dalam talian seperti di platform Shopee atau Shopify; lantas memenuhi permintaan yang masih bernyawa dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kedai Buku Melayu di Singapura: Realiti dan Transformasi

Ketiadaan kedai buku fizikal yang khusus untuk buku Melayu bukan bermakna buku-buku ini tidak lagi diminati. Sebaliknya, ramai penerbit dan penjual buku telah beralih ke platform dalam talian untuk memenuhi permintaan yang masih wujud. Antara kedai buku Melayu yang kini beroperasi secara online melalui tapak sesawang masing-masing termasuk Pustaka Nasional, UnguPen, Caliph Readers, dan Alam Cahaya. Tidak ketinggalan, penerbit seperti Unggun Creative turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai bahan bacaan sastera dan ilmiah.

Pada ketika ini, satu-satunya kedai buku fizikal yang masih bertahan ialah Nurul Anwar Bookstore. Terletak di kawasan Bussorah Stret, ia menjadi satu-satunya tempat yang mengembalikan nostalgia berkunjung ke kedai buku secara konvensional.

Mengapa Kedai Buku Melayu Berpindah ke Dalam Talian?

Fenomena ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor:

  1. Kos Sewa yang Tinggi: Kos menyewa ruang komersial di Singapura semakin meningkat, menyebabkan banyak kedai buku kecil sukar bertahan.
  2. Permintaan yang Terhad: Permintaan untuk buku-buku Melayu mungkin tidak cukup tinggi untuk menampung kos operasi kedai fizikal.
  3. Penjimatan Kos: Dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian, kedai buku dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dan menyimpan inventori dengan lebih efektif.

Pesta Buku Melayu Singapura: Memartabatkan Bahasa dan Budaya

Untuk mereka yang masih lagi minat untuk membelek-belek sebelum membeli buku, usah gusar atas ketiadaan kedai-kedai buku Melayu Singapura. Sejak 2019, Pesta Buku Melayu Singapura telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan. Pada tahun pertama, ia dianjurkan di Wisma Geylang Serai dengan tujuan menghidupkan semula semangat membaca dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, akibat pandemik Covid-19, pesta buku ini diadakan secara maya pada 2020 dan 2021. Mulai 2023, pesta ini kembali diadakan secara fizikal di lokasi yang sama, membolehkan pengunjung merasai pengalaman membeli buku sambil berinteraksi dengan penulis dan penerbit.

Acara pesta buku ini acap kali mendapat liputan meluas daripada pihak media seperti Berita Harian dan Berita Mediacorp, yang menyemarakkan lagi semangat membaca dalam kalangan komuniti setempat. Untuk maklumat lanjut dan tarikh untuk pesta buku tahun ini, anda boleh mengunjungi halaman rasmi Facebook Pesta Buku Melayu Singapura.

Jenis-Jenis Buku Melayu yang Dijual

Buku Melayu Singapura menawarkan pelbagai jenis bacaan, termasuk:

  • Novel: Novel untuk belia dan dewasa, antaranya Hitam Putih & Galak oleh Suratman Markasan, Membina Istana Di Angkasa oleh Noridah Kamari, Tunjuk Langit oleh Jamal Ismail dan banyak lagi.
  • Cerpen: Karya-karya seperti Kepala Kotak oleh Farihan Bahron, Interlud oleh Djohan A. Rahman, Kosong Di Atas Garis oleh Leyla Shuri dan Saudagar Pagar oleh Mohamed Naguib Ngadnan.
  • Puisi: Koleksi seperti Perahu Sudah Dipecahkan Khidir oleh HB Johar dan Anak Waktu Belajar Diam oleh Muhammad Khairool Haque, Rayuan Pada Hujan oleh Maarof Salleh dan lain-lain.
  • Buku Kanak-Kanak dan Novel Grafik: Pat Pat Dedaun Ketupat oleh Amanah Mustafi dan Niskala oleh Farihan Bahron & M. Sharif Ishnin.
  • Esei dan Kritikan Sastera: Buku seperti Mengasah Kalam oleh Suratman Markasan.

Karya-karya ini membuktikan bahawa penulis Melayu Singapura terus menghasilkan bahan bacaan berkualiti tinggi untuk semua peringkat umur.

Menyemai Budaya Membaca: 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya'

Kata-kata bersemangat seperti "bangsa membaca, bangsa berjaya" dan "bangsa berilmu, bangsa maju" seharusnya dijadikan slogan untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kontemporari yang mengamalkan dasar kedwibahasaan. Membaca bukan sahaja memperkayakan ilmu pengetahuan tetapi juga membantu membentuk jati diri dan identiti budaya. Dalam konteks Singapura, penekanan terhadap membaca buku Melayu dapat memastikan generasi muda terus mengenali dan menghargai warisan budaya mereka.

Kesimpulan: Membaca Sebagai Pelaburan Masa Depan

Buku Melayu Singapura mungkin menghadapi cabaran dari segi pasaran dan akses, tetapi usaha-usaha seperti Pesta Buku Melayu dan platform dalam talian membuktikan bahawa minat terhadap bahan bacaan ini masih kukuh. Dengan sokongan masyarakat, penerbit, dan penjual buku, harapan untuk memastikan kelangsungan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura akan terus menyala.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku Melayu Singapura, lawati laman web Unggun Creative dan terokai koleksi buku-buku sastera yang ditawarkan. Mari jadikan membaca sebagai pelaburan masa depan untuk generasi kita!