$12.00 SGD
Qty available: 19

Anda ingin menelusuri kenangan zaman sekolah dulu sambil menghayati kisah-kisah menarik hasil para guru?

Antologi cerpen Tuai Padi Antara Masak ini menghimpunkan cerita-cerita rekaan yang ditulis oleh 13 orang guru Bahasa Melayu di Singapura. Kisah-kisah ini turut memaparkan kerencaman para pelajar dan masalah yang mereka tempuhi.

Buku ini juga boleh dibeli di Shopee:
https://shopee.sg/product/253792513/8081411792/

IRIS
oleh Cikgu Murshidah Hassan
Cerita ini mengisahkan seorang pelajar bernama Faris yang terpesona dengan keperibadian Iris, seorang pengawas yang bertugas untuk menyampaikan berita untuk kesemua rakan sekelas. Namun, getar perasaan Faris sentiasa diajuk dan diejek oleh rakan-rakannya sehingga tercetus peristiwa yang tidak diinginkan.

BUDI
oleh Cikgu Tetty Juliana Sujono
Kisah ini menyingkap pengalaman seorang guru dengan anak murid bernama Budi, yang menyemat dan menyembunyikan rahsia gelap di sebalik coretan kursif kecil di lengan tangan kanannya. Apakah gambaran simbol yang dilakarkan? Apakah agaknya sejarah silam yang terpancar di sebalik lukisan monogram itu?   

IMAN
oleh Cikgu Sri Rahayu Zainal
Seorang pelajar bernama Iman menduga tahap kesabaran Cikgu Siti yang pertama kali berhadapan dengan kerenah anak istimewa yang berbeza perwatakannya daripada pelajar-pelajar lain. Mampukah Cikgu Siti menjalankan tugasan seorang guru biasa dalam keadaan yang luar biasa? Mampukah Iman melazimkan dirinya dengan para pelajar lain?

SU
oleh Cikgu Hazlan Mohd Aris
Cikgu Farouk, seorang guru muda berusia 26 tahun berasa terkilan kerana dikerahkan untuk mengajar kelas ternakal di Sekolah Menengah Pisang. Namun, dia sempat berguru dengan seorang pelajar bernama Su, anak tukang kebun yang sering ditemuinya selepas waktu sekolah. Iktibar yang diraihnya tidak dapat diluputkan dari ingatan.

O
oleh Cikgu Mohamed Naguib Ngadnan
Cikgu Khairul menyimpan sekeping fail ungu usang yang menyusun kertas-kertas kuning, milik bekas seorang pelajarnya. Di Sekolah Rendah Kebun Besar itu, Cikgu Khairul mengenali susuk pelajar yang tidak mampu berucap sepatah kata pun, namun, paling cekap mengeja huruf O. Selepas 50 tahun, barulah dia tahu nama sebenar pelajar itu.

TAN DAOMING
oleh Cikgu Alia Moreta
Kisah seorang pelajar luar negara bernama Tan Daoming yang pertama kali menjelajah ke negara asing disingkap dalam cerpen ini melalui sepotong ayat, "Tak kenal maka tak cinta." Ayat yang ringkas namun membawa seribu kenangan kepada seorang pelajar yang dibebankan dengan pembelajaran bahasa baharu selama 10 minggu.

PUTERI
oleh Cikgu R. Azmann A. Rahman
Perkhemahan sewaktu zaman sekolah sentiasa merakamkan kenangan istimewa dalam kehidupan setiap pelajar, apatah lagi apabila berpeluang untuk berwisata ke sebuah kampung di negara jiran. Namun, pengalaman manis Puteri bertukar menjadi satu misteri apabila menerima kunjungan tetamu di pondoknya pada satu malam.

IDAH
oleh Cikgu Erna Salamun
Idah, seorang pelajar yang sentiasa hormat dengan para guru tiba-tiba sahaja melenting dan memberontak apabila lewat datang ke sekolah pada suatu hari. Secebis peristiwa pedih yang terpalit dalam kehidupan Idah di luar darjah menjadi pencetus perubahan dalam dirinya. Adakah seorang guru juga harus campur tangan dalam kehidupan muridnya?

LONG QIAM PAS
oleh Cikgu Mohamed Hizammuddin bin Mohamed Yusof
Tiga sekawan pengakap cuba meleraikan persoalan yang menyelubungi kemunculan seorang budak perempuan bergaun merah jambu yang ditemui di tong sampah komunal di tingkat empat. Apakah nama budak itu? Dari mana dia menjelma? Mungkinkah lencana di beret pengakap mereka dapat membantu siasatan Long Qiam Pas?

AMERUL
oleh Cikgu Zafilin Abdul Hamid
Meskipun sudah lama meninggalkan bangku sekolah, Amerul, seorang pelajar yang dahulunya nakal dan ungkal masih lagi menerima kiriman surat daripada guru disiplinnya, Cikgu Bahrain, pada setiap hari Jumaat. Kandungan kata-kata yang dirangkai dalam warkah gurunya ada kalanya meredakan dan ada kalanya juga membakar perasaan.

LAILA
oleh Cikgu Hasrita Hosnin
Laila, seorang pelajar yang tersepit dalam lingkaran syaitan, ingin keluar dari cengkaman yang membelenggu hidupnya. Cikgu Attirah sedaya-upaya cuba membantu pelajarnya itu apabila terperasan plaster yang tertampal di muka Laila. Adakah musibah itu satu putaran roda yang tidak ketemu jalan penyelesaian? Jawapannya di tangan Laila.

MAHENDRAN
oleh Cikgu Djohan A. Rahman
85 dolar. Harga pada suatu pengajaran yang tidak ternilai. Kisah tentang Mahendran panas baran yang suka berentap dengan pelajar lain di sekolah dirungkai dalam cerpen ini. Apabila Mahendran membalas dendam dengan menendang motor jingga milik gurunya sehingga tersungkur, maka berlakulah rentetan peristiwa yang tidak terduga.

RASHMIRA
oleh Cikgu Nuraini Ismail
Orangnya satu. Namanya tiga. Kisah jatuh bangun seorang pelajar yang bernama Rashmira ini disoroti dalam cerpen yang turut disulami dengan renungan tajam Cikgu Aineen. Benarkah renungan seorang guru itu dapat menembusi tembok jiwa seorang pelajar? Sejauh manakah renungan itu akan melekat di dinding minda Rashmira?