Nyala... mulanya di sini.
Nyala dimulakan di tapak ini sebagai sebuah blog yang akan menyajikan artikel, analisis, dan karya dari masa ke semasa.
Seringkali, kita dengar keluhan para penulis bahawa Singapura kekurangan wadah untuk menyalurkan karya. Selain daripada ruangan di akhbar Berita Harian/Berita Minggu pada setiap hari Isnin dan Ahad, para penulis bergantung kepada penerbitan buku, sama ada secara mandiri atau beramai-ramai.
Baru-baru ini, terdapat trend yang agak sihat dalam kalangan penulis untuk melakukan crowd-sourcing, iaitu mengumpul wang dan karya secara beramai-ramai dan menerbitkannya, kemudian mengagih-agihkan buku sesama penulis untuk dijual.
Ada juga usaha untuk bekerjasama dengan para penulis dari negara-negara jiran, seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan sebagainya untuk melahirkan karya secara berkumpulan dan membina jaringan persahabatan antara penulis yang tidak bersandarkan kepada sokongan pertubuhan-pertubuhan yang formal..
Selain daripada itu, hubungan para penulis melalui laman sosial menggalakkan pembicaraan karya, pengumuman majlis sastera dan pembinaan persahabatan dalam dunia kesusasteraan.
Hal-hal ini menyumbang ke arah pembentukan sebuah sistem sastera yang akan mencirikan zaman ini dalam pensejarahan kesusasteraan Melayu Singapura yang diakronik dan lebih meluas.
Setiap bulan, suasana tampak meriah dengan pelbagai acara sastera, namun demikian, dari sudut penerbitan, ada sesuatu yang terasa kurang.
Apabila saya amati 'kekurangan' ini dalam konteks sejarah sastera Melayu di Singapura, khususnya pada zaman-zaman yang dianggap meriah, iaitu tahun-tahun 1930-an dan selepas Perang Dunia Kedua (tahun-tahun 1950-an) saya dapati bentuk penerbitan yang langka atau tiada sama sekali di Singapura buat masa ini ialah majalah sastera yang kuat dan bertahan.
Kenapa majalah?
Kalau kita renungkan, kos penerbitan dan hayat sebuah majalah berada di pertengahan surat khabar dan buku. Walaupun majalah lebih lama hayatnya (paling kerap sebulan sekali) daripada surat khabar, namun rasa 'gerun' untuk menerbitkan karya dalam majalah agak kurang berbanding dengan buku yang lebih 'kekal' sifatnya dalam konteks penerbitan.
Majalah juga mempunyai ruang yang luas untuk melahirkan esei penuh, kritikan karya yang mendalam dan cerpen yang lebih panjang berbanding dengan surat khabar yang lebih terbatas sifatnya.
Akibat tiada wahana majalah dalam sistem sastera Melayu Singapura ketika ini, para penulis terus 'terjun' ke dalam dunia penerbitan buku dengan karya yang mungkin masih boleh disaring, dikritik dan disunting dengan lebih halus lagi seandainya terdapat wadah untuk melakukan demikian.
Menyoroti sudut yang lain pula, analisis karya dilakukan secara sepintas lalu melalui laman media sosial oleh beberapa penulis dan pemerhati sastera setempat, namun kesannya agak kecil kerana hanya memanfaatkan rakan-rakan sendiri.
Penerbitan majalah bagaimanapun memerlukan kelompok pembaca yang berdedikasi dan kos yang banyak untuk bertahan.
Impian menerbitkan sebuah majalah sastera secara fizikal saya alihkan ke dalam bentuk blog di alam siber - Nyala.
Nyala menjemput para pembaca untuk menyumbangkan artikel dan pandangan mengenai sastera Melayu Singapura dan bayaran akan diberikan untuk setiap artikel yang dipilih.
Add a comment