Kemilau ialah program bimbingan selama 8 minggu yang bertujuan untuk mengembangkan bakat para penulis muda dalam bidang sajak dan cerpen.

Program ini dikendalikan oleh Unggun Creative dan disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC).

Para peserta program ini akan menghadiri beberapa kuliah sastera untuk peningkatan ilmu. Para peserta juga akan memperhalusi penulisan masing-masing melalui kritikan dan ulasan karya oleh para pembimbing.

Pada akhir program ini, karya-karya para peserta akan dibukukan dalam sebuah antologi.

Permohonan:

  • Permohonan dan penyertaan untuk program Kemilau adalah percuma.
  • Program ini dibuka kepada warganegara atau penduduk tetap Singapura yang berusia antara 20 hingga 35 tahun.
  • Pemohon boleh memilih sama ada untuk menyertai bidang sajak, bidang cerpen atau kedua-duanya sekali.
  • Untuk bidang sajak, pemohon diminta untuk mengirim 3 buah sajak untuk penilaian awal.
  • Untuk bidang cerpen pula, pemohon diminta untuk menghantar sebuah cerpen dalam sekurang-kurangnya 1,500 perkataan.
  • Karya-karya harus dikirimkan kepada alamat e-mel: info@ungguncreative.com selewat-lewatnya pada 6 November 2021, 11.59 malam.
  • Para pemohon juga diminta untuk menyertakan CV masing-masing dalam permohonan.
  • Para pemohon akan dinilai melalui kiriman karya yang berdasarkan kriteria-kriteria berikut: a) potensi untuk perkembangan, b) daya kreativiti, dan c) kemahiran bahasa. 
  • Hanya 10 peserta sahaja yang akan dipilih bagi setiap bidang.

Jadual Program:

  • Para peserta yang dipilih akan diundang untuk menghadiri 8 sesi bersemuka selama dua jam setiap minggu.
  • Setiap sesi akan diadakan di lokasi rasmi program ini, iaitu Kamal Arts (di Wisma Geylang Serai, #04-05/06, Singapore 408528)
  • Sesi bidang sajak akan berlangsung setiap Rabu, 7.45 - 9.45 malam, bermula pada 1 Disember 2021 dan berakhir pada 19 Januari 2022.
  • Manakala sesi bidang cerpen pula akan diadakan setiap Isnin, 7.45 - 9.45 malam, dari 6 Disember 2021 hingga 24 Januari 2022.
  • Kesemua sesi akan dianjakkan ke ruang maya melalui wadah Zoom sekiranya sekatan untuk sesi bersemuka dipertingkatkan kerana Covid-19.

Pembimbing:

  • Kedua-dua bidang sajak dan cerpen dalam program Kemilau ini akan dikendalikan oleh pengasas Unggun Creative, iaitu Dr Noridah Kamari dan Encik Farihan Bahron.
  • Noridah Kamari menerima ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kesusasteraan Melayu dari Universiti Sains Malaysia 2019. Beliau pernah meraih Anugerah Harapan pada 2013 dan Anugerah Persuratan bagi sajak pada tahun-tahun 1999, 2001, 2003, 2007 dan 2009. Sajak-sajaknya terakam dalam beberapa antologi puisi serantau, termasuklah Catatan Perjalanan (2017), Regarding Singapore (2016), Cekal-Tekal-Mekar (2014), Begitulah Kata-kata (2013), Meditasi Dampak 70 (2011), From The Window of This Epoch (2009), Antologi Puisi Kail Panjang Sejengkal (2005), Dari Amerika ke Catatan Langit: Antologi Puisi Mastera (2005), Projek X (2003) dan Manik-manik Hijau (1995). Beliau turut mengarang buku kanak-kanak berjudul Negeri Setengah Jalan (2015) dan kumpulan sajak Gigi Nadim Masih Rongak (2020).
  • Farihan Bahron, penerima Anugerah Harapan 2017, pernah memenangi beberapa sayembara penulisan termasuk Peraduan Asah Bakat 1998 (Hadiah Pertama - Puisi), Anugerah Pena Bakti 2000 (Hadiah Ketiga - Puisi), Anugerah Pena Emas 2003 (Hadiah Kedua - Puisi), Anugerah Pena Emas 2015 (Hadiah Pertama - Puisi dan Cerpen), Mencari Kristal 2016 (Hadiah Ketiga - Cerpen dan Sayembara Puisi Kata-Pilar 2020 (Hadiah Utama). Kumpulan puisinya, Tukang Tunjuk Telunjuk memenangi Singapore Literature Prize 2018 dan Anugerah Persuratan 2021. Kumpulan cerpennya pula, Kesumat Sang Avatar, menerima hadiah kepujian untuk Singapore Literature Prize 2018. Farihan juga aktif dalam penulisan seni kata dikir barat di Singapura sejak 1996 dan telah 15 kali menerima piala Seni Kata Terbaik.
  • Para peserta juga akan dibimbing oleh dua orang sasterawan Singapura dan seorang sasterawan undangan dari Malaysia. Butiran lanjut akan dimaklumkan selepas proses pemilihan peserta.

Kami mengalu-alukan penyebaran maklumat ini kepada sekalian ahli keluarga atau sahabat-handai yang berminat untuk menyertai program Kemilau ini.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada: info@ungguncreative.com.

Ayuh, usah lepaskan peluang ini!